Oleh UtusanTV -November 21, 2025
ToyyibPay Sdn Bhd memeterai Memorandum of Agreement (MoA) dengan Yayasan Restu bagi membangunkan sebuah Portal Waqf Digital yang selamat, telus dan beroperasi secara patuh syariah sebagai usaha memperkukuh inisiatif Waqf al-Quran di peringkat global.
Majlis kerjasama itu berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, dan ditandatangani oleh Pengerusi ToyyibPay Sdn Bhd, Datuk Dr. Mazlan Ahmad, bersama Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa.
Menerusi kerjasama ini, ToyyibPay akan menyediakan infrastruktur pembayaran digital patuh syariah yang dipercayai, manakala Yayasan Restu membawa pengalaman luas dalam percetakan, penjagaan dan pengedaran Al-Quran ke seluruh dunia.
Gabungan dua pihak ini menyasar memperluaskan Program Waqf Al-Quran Global, dengan komitmen menyediakan satu juta naskhah Waqf Al-Quran kepada komuniti yang memerlukan di fasa seterusnya.
Dalam ucapannya, Dr. Mazlan menjelaskan bahawa Projek Satu Juta Al-Quran diinspirasikan daripada insiden pembakaran Al-Quran di Sweden pada 2023.
Beliau mengingatkan bahawa susulan peristiwa itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan iltizam Malaysia untuk menghantar satu juta naskhah Al-Quran ke seluruh dunia bagi setiap satu pembakaran yang berlaku.
“Usaha sama ToyyibPay dan Yayasan Restu ini adalah komitmen penting dalam meningkatkan ketelusan, capaian dan impak penyediaan waqf Al-Quran.
“Platform ini dibina atas asas patuh syariah, selamat dan mudah diakses bagi memudahkan sumbangan waqf dari seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Datuk Abdul Latiff Mirasa menegaskan MoA ini bukan sekadar kerjasama operasi, tetapi membawa amanah besar memastikan mesej Al-Quran terus sampai kepada lebih ramai umat Islam di Malaysia dan luar negara.
“Yayasan Restu telah memikul tanggungjawab penyebaran dan pendidikan Al-Quran selama lebih 30 tahun dan projek Waqf Al-Quran seluruh dunia bersama ToyyibPay bakal memperkasa usaha tersebut melalui platform digital yang lebih mudah dan diyakini.
“ToyyibPay kini mempunyai rangkaian melebihi 200,000 peniaga, 5,000 masjid dan institusi Islam,” jelasnya.
Kedudukan ini membolehkan syarikat tersebut memacu promosi Program Waqf Al-Quran Global dan memperluas pasaran pewakaf digital di Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika.
Sejak 2023, Yayasan Restu telah mengedarkan terjemahan Al-Quran dalam 30 bahasamerentas lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India dan Nigeria.
Usaha terjemahan tersebut terus berkembang bagi memastikan masyarakat Muslim pelbagai latar belakang memperoleh akses kepada Al-Quran dalam bahasa mereka.
Kerjasama dengan ToyyibPay mengukuhkan lagi kapasiti operasi Yayasan Restu melalui integrasi digital, peningkatan ketelusan pewakaf serta memastikan setiap naskhah sampai kepada penerima dengan akauntabiliti penuh.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi kewangan Islam, tadbir urus waqf digital dan pengedaran ilmu Al-Quran di peringkat global.
Dalam majlis sama, ToyyibPay turut menandatangani tiga MoU bersama Namirial, diwakili Mr. Filippo Giachi bagi modul keselamatan digital eKYC (Know Your Customer), Kirarafics, diwakili Muhammad Firdaus Zakaria bagi perkhidmatan Wasiat Digital serta Masjid Pro, diwakili Shaharizal Othman bagi pembangunan aplikasi mudah alih Pengurusan Masjid.
